LISBON, Portugal, 29 Jun 2025 /PRNewswire/ — Envision Energy, peneraju bertaraf global bagi teknologi hijau, diberi penghormatan menerusi anugerah “Segment Champions” oleh Global Wind Energy Council (GWEC) di Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-20, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang syarikat ini terhadap inovasi dan kepimpinan global dalam tenaga boleh baharu. Pengiktirafan yang berprestij ini menonjolkan kecemerlangan teknologi Envision Energy dan sumbangannya yang luar biasa kepada pertumbuhan dalam industri kuasa angin global.

Segment Champions Award meraikan organisasi-organisasi yang tekal memacu pertumbuhan pasaran dan inovasi dalam sektor tenaga angin global. Tenaga angin memperkasakan perubahan positif dalam dua dekad yang lalu, melepasi 1 TW kapasiti tenaga angin pada tahun 2023 dan berada di landasan untuk mencapai 2 TW menjelang akhir dekad ini. Sepanjang proses ini, Envision Energy menonjol sebagai perintis bagi teknologi angin pintar dan dalam masa yang sama memajukan jejak globalnya secara berterusan di pasaran-pasaran utama di Asia, Timur Tengah, Eropah, Afrika dan Amerika Latin. Menerusi kepakaran teknologi yang kukuh, rantaian bekalan global yang teguh dan keupayaan penghantaran terbukti, Envision mempercepat penerimagunaan tenaga boleh baharu yang berskala besar dan peralihan global kepada sifar bersih, seterusnya membentuk masa depan kuasa angin di seluruh dunia.
Ben Backwell, Ketua Pegawai Eksekutif GWEC berkata dalam petikan itu: “Sejak beberapa dekad yang lalu, Envision Energy berkembang menjadi salah satu peneraju teknologi angin yang paling inovatif di dunia. Envision dan ahli perintis GWEC yang lain melambangkan visi GWEC iaitu ‘Memperkasakan Masa Depan’. Kepimpinan Envision dalam teknologi dan pembangunan pasaran mempercepat peralihan tenaga bersih di seluruh dunia. Kami berasa gembira dapat meraikan Envision sebagai salah satu perintis yang membentuk masa depan tenaga kita.”
Kane Xu, Naib Presiden Kanan dan Presiden Barisan Produk Antarabangsa di Envision Energy, berkata: “Kami berbesar hati menerima Segment Champions Award di majlis yang istimewa ini. Sama seperti GWEC yang menyatukan industri kita untuk mengangkat kuasa angin daripada teknologi khusus kepada penyelesaian tenaga arus perdana, kini Envision merintis evolusi angin yang seterusnya: daripada turbin kendiri kepada sistem tenaga boleh baharu bersepadu dan ekosistem sifar bersih global. Dengan setiap turbin yang kami pasang dari Kazakhstan ke Mesir, kami bukan sahaja menjana tenaga elektrik – kami menjana revolusi perindustrian untuk ekonomi global, memacu peralihan global kepada tindakan iklim dan masa depan sifar bersih. Pengiktirafan ini menyemarakkan misi kami untuk mengubah setiap hembusan angin, di mana-mana sahaja di dunia, menjadi enjin untuk kemakmuran global.”