
KUALA LUMPUR, 17 JUN 2025 – Usahawan wanita Malaysia terus mencatat kemajuan dalam perdagangan rentas sempadan, hasil sokongan akses yang lebih meluas kepada platform digital serta kerjasama kukuh dalam ekosistem eksport. Ini merupakan antara mesej utama daripada Forum Women in Export (WiEX) 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di mana Shopee Malaysia telah dijemput menyertai sesi panel mengenai perluasan akses global melalui e-dagang.
Bertempat di Menara MATRADE, forum ini menghimpunkan penggubal dan pengawal selia polisi, pemimpin industri dan rakan ekosistem bagi membincangkan strategi praktikal untuk membantu lebih banyak perniagaan yang dipimpin wanita menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam sesi bertajuk “Mengakses Pasaran Global melalui Platform Digital”, Ketua Pembangunan Perniagaan Shopee, Saovanee Chan-Somchit berkongsi bagaimana usahawan wanita tempatan memanfaatkan e-dagang untuk berkembang ke peringkat serantau. Beliau turut menekankan peranan penting platform digital dalam menyediakan sokongan berstruktur dan mudah diakses di setiap peringkat pertumbuhan perniagaan.
“Di Shopee, kami bekerjasama dengan ratusan ribu PMKS di Malaysia dan kira-kira satu pertiga daripadanya diketuai wanita,” kata Saovanee. “Kami menyaksikan sendiri bagaimana usahawan wanita menunjukkan semangat luar biasa dalam mengatasi kekangan seperti kurang akses kepada latihan digital, tanggungjawab penjagaan keluarga, serta risiko pasaran baharu. Peranan kami ialah menyediakan alat, infrastruktur dan bimbingan yang sesuai agar mereka dapat berkembang mengikut keperluan mereka.”
Strategi pemerkasaan eksport Shopee direka untuk memenuhi keperluan penjual Malaysia pada pelbagai tahap kesiapsiagaan. Platform Antarabangsa Shopee (SIP) menawarkan penyelesaian menyeluruh yang membantu penjual Malaysia mencapai pembeli luar negara di mana Shopee membantu menguruskan logistik rentas sempadan, khidmat pelanggan dan pemprosesan pembayaran. Dengan mengurangkan kerumitan operasi, SIP membolehkan penjual memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan mereka, termasuk kualiti produk, kepelbagaian pilihan, dan pengoptimuman pemasaran. Menerusi SIP, lebih 30,000 penjual Malaysia kini aktif di pasaran antarabangsa terutamanya di Singapura, Filipina dan Thailand, dengan lebih 20,000 pesanan eksport dipenuhi setiap hari di negara-negara tersebut. Shopee berhasrat untuk terus meluaskan rangkaian eksport di seluruh Asia Tenggara untuk membuka lebih banyak peluang untuk PMKS tempatan.
Sementara itu, program Malaysia-Singapore (MY-SG) Direct menawarkan peluang kepada penjual untuk mengurus dan membangunkan perniagaan mereka secara kendiri di Shopee Singapura. Penjual menikmati kawalan penuh terhadap kedai mereka, termasuk harga, senarai produk dan promosi, sambil masih mendapat manfaat daripada logistik bersepadu, penyelesaian pembayaran, serta akses kepada kempen khas. Dengan lebih 5,000 penjual aktif dan 10,000 pesanan harian, MY-SG Direct merupakan laluan eksport berskala dan fleksibel untuk perniagaan yang bersedia membina jenama di peringkat serantau.
Program-program ini telah membuka peluang baharu kepada jenama tempatan milik wanita untuk berkembang melangkaui sempadan. Antara contoh kejayaan ialah Karen Ng Pei Voon, pengasas AUDIO KING yang menjual jenama elektronik tempatan, MOGAD. Selepas menyertai program MY-SG Direct, perniagaannya mencatat peningkatan hasil sebanyak sepuluh kali ganda dalam tempoh enam bulan, hasil penambahbaikan berterusan dalam senarai produk dan penyertaan dalam kempen bersasar.
Contoh lain ialah Joey & Mom, jenama keperluan bayi yang diasaskan oleh seorang ibu dua anak, Purani Selvaratnam. Dengan menggunakan alat pemenuhan dan pemasaran Shopee, jenama ini berjaya menembusi pasaran Singapura walaupun beroperasi sepenuhnya dari Malaysia yang membuktikan bahawa e-dagang digital boleh melengkapi tanggungjawab keluarga dan aspirasi perniagaan.
Turut memberi inspirasi ialah kisah Sheryn Chin yang memulakan perniagaan makanan bayi dari rumah. Walaupun berdepan cabaran awal dengan prosedur kastam rentas sempadan dan kesukaran onboarding di platform lain, beliau menemui jalan pertumbuhan antarabangsa yang lancar melalui program MY-SG Direct Shopee. Dengan memanfaatkan alat pemasaran Shopee, Sheryn menyertai kempen platform, menggunakan insentif baucar untuk menarik pelanggan baharu, dan meningkatkan keterlihatan produk dengan mengoptimumkan tajuk, penerangan dan visual senarai produknya. Usaha strategik ini membawa kepada peningkatan berterusan dalam jumlah eksport yang kini mencecah ratusan pesanan setiap bulan. Kini, beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai jurulatih bertauliah Shopee Xpert dan mentor kepada usahawan wanita yang lain.
“Kisah-kisah ini bukan sahaja mencerminkan bakat keusahawanan, tetapi juga ketabahan dan kebijaksanaan wanita Malaysia,” tambah Saovanee. “Kami terinspirasi oleh kejayaan mereka dan komited untuk terus menyokong lebih ramai wanita agar dapat berkembang dengan yakin.”
Shopee kekal komited untuk menjadikan e-dagang mudah diakses oleh semua dengan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan tempatan dalam mempercepat transformasi digital dan mencipta peluang dalam talian. Ini termasuk kerjasama rapat dengan MATRADE untuk menyokong pendekatan pembangunan eksport yang lebih tersusun dan berskala. “Dengan panduan strategik MATRADE dan pengalaman meluas Shopee dalam menyokong PMKS, kami dapat lihat potensi yang kukuh dapat menyumbang kepada program yang memperkasa usahawan wanita di seluruh negara berimpak tinggi ini,” kata Saovanee.
Forum WiEX yang berlangsung pada 10 Jun telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, bersama Pengerusi MATRADE YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE YBhg. Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz, dan Pengerusi HAWA Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. Acara ini turut menyaksikan pelancaran Women Exporters e-Directory, sebuah inisiatif nasional untuk meningkatkan keterlihatan perniagaan milik wanita di pasaran global.
Seiring perkembangan e-dagang digital, Shopee kekal komited untuk membina ekonomi digital yang lebih inklusif dan memperkasa usahawan wanita Malaysia dengan alat dan sokongan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka untuk merebut peluang baharu sama ada di dalam dan luar negara.